Wednesday, November 18, 2009

ISMA-NZ Lakar Sejarah

Wellington, 12 Nov. - ISMA New Zealand baru-baru ini melakar satu sejarah apabila pertama kali mengadakan lawatan rasmi ke pejabat kedutaan Malaysia di Wellington. Turut sama dalam lawatan ini adalah Setiausaha Agung Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Tuan Haji Aminuddin Yahya yang terbang dari Malaysia untuk menyertai lawatan muhibbah ini selain bertemu dengan wakil-wakil ISMA di New Zealand.


Dalam lawatan rasmi ke pejabat kedutaan ini, satu pertemuan telah diadakan bersama Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Wellington, Tuan Yang Terutama (TYT) Dato’ Hasnudin Hamzah, selain bertemu dengan Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) New Zealand, Dr. Rosli Mohammed dan beberapa pegawai lain yang bertugas di kedutaan. Pertemuan ini telah berlangsung pada Selasa 10 November yang lalu dan mengambil masa hampir 2 jam.

Dalam perjumpaan bersama TYT Dato’, saudara Aminuddin telah diberi kesempatan untuk menerangkan tentang halatuju dan aspirasi ISMA selain berkongsi tentang aktiviti-aktiviti ISMA yang dijalankan. Saudara Aminuddin juga telah menyatakan komitmen ISMA dalam membantu pembinaan para pelajar Malaysia di luar negara terutamanya di New Zealand untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang cerdik pandai dan berteraskan Islam sebagai pegangan hidup.

Dalam kesempatan ini juga kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pandangan tentang isu-isu semasa di Malaysia dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan kualiti modal insan serta taraf hidup masyarakat secara keseluruhan. Pihak TYT Dato’ turut berkongsi pandangan dan nasihat bagaimana ISMA boleh lebih tampil ke hadapan untuk membantu membaiki masyarakat dalam mencapai status negara maju bukan sahaja dari segi material tetapi juga dari segi cara berfikir dan tindakan.

Dalam perjumpaan bersama Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di New Zealand pula, perbincangan lebih tertumpu di sekitar isu-isu yang melibatkan para pelajar di New Zealand seperti sokongan dan panduan untuk pelajar-pelajar baru di New Zealand, serta bantuan dari segi akademik, sahsiah, kepimpinan serta pembinaan jatidiri seorang pelajar Muslim Malaysia di luar negara.



Kertas kerja rasmi penubuhan ISMA New Zealand juga telah diserahkan dalam perjumpaan ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Penaja Penubuhan, saudara Mus’ab Umair dan Ketua Biro Protokol dan Hubungan Luar, saudari Nur Syazwani.

Pihak ISMA New Zealand ingin melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membuka lembaran baru ini terutamanya kepada TYT Dato’ Hasnudin Hamzah dan Pengarah MSD, Dr. Rosli Mohammed atas kesudian untuk menerima kunjungan muhibbah ini.

Diharapkan ini akan menjadi satu titik permulaan untuk kerjasama yang lebih erat antara ISMA New Zealand dan pihak kedutaan. Pihak ISMA New Zealand juga mengalu-alukan segala bantuan, nasihat, tunjuk ajar dan panduan dari pihak kedutaan, dan juga dari mana-mana pihak lain yang mahu terlibat sama dan berkerjasama dalam membantu melahirkan generasi baru Malaysia yang lebih cemerlang dan berguna untuk masyarakat secara keseluruhan.

[ Baca sepenuhnya.. ]

Friday, November 13, 2009

Kempen Tabung Bantuan Nabilah Huda

Berita penderitaan saudari Nabilah Huda binti Zaim (anak kepada saudara Zaim bin Shaari, ahli Jawatankuasa Pusat ISMA) yang menghidap penyakit leukemia sejak setahun yang lepas terus menarik perhatian ramai pihak. Terbaru saudari Nabilah Huda akan menjalani pembedahan pemindahan tulang sum-sum pada bulan Disember ini. Kos pembedahan ialah sebanyak RM70,000 (RM50,000 untuk pembedahan dan RM20,000 untuk rawatan susulan).

Sehubungan dengan itu, ISMA New Zealand telah melancarkan kempen Tabung Bantuan Nabilah Huda sebagai usaha mengumpulkan bantuan kewangan untuk membiayai kos pembedahan beliau. Sumbangan boleh disalurkan kepada:

New Zealand
Acc Name: Roadshow Palestin NZ
Acc No (BNZ): 02-0727-0100651-083
Ref: Nabilah

Penderma-penderma budiman dari negara/benua lain boleh juga menyalurkan sumbangan kepada:

Australia
Name: Nor Ashikin Mohammad
Bsb: 083457
Acc: 833910033

Malaysia
Akaun Maybank Zaim bin Shaari 162517025794.

UK & Eire
Republic of Ireland Bank Account
BANK NAME: AIB Bank, Baggot Street
ACC NAME: MOHD F TAHAR(Mohd Ferdaus Tahar)
ACC NO: 19479023
SORT CODE: 93-10-12

United Kingdom Bank Account
ACC NAME:MR MUHAMAD I B TAHIR(Muhamad Iqbal Bin Tahir)
ACCOUNT NO: 76461560
SORT CODE: 77-74-01

Untuk sebarang pertanyaan, boleh berhubung terus dengan saudara Zaim di talian +6013-3521226.

Saudari Nabilah Huda Binti Zaim merupakan pelajar tajaan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang sedang menuntut dalam jurusan Syariah di University of Yarmuk, Irbid yang terletak kira-kira 150 km ke utara dari Amman, Jordan. ISMA New Zealand mendoakan agar saudari Nabilah Huda dan keluarganya dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang berpanjangan sepanjang melalui ujian daripada Allah SWT ini.

[ Baca sepenuhnya.. ]

Wednesday, November 11, 2009

Bercita-cita tinggi dan berjiwa besar



Salam perjuangan buat para pendakwah.

Dunia ini dirubah oleh mereka yang memiliki Himmah ’Aliyah (cita-cita tinggi). Di belakang setiap pemikiran ilmiah atau projek yang membina atau misi pengislahan umat, pastinya ada tokoh-tokoh dan figur-figur yang hebat. Tokoh-tokoh yang memiliki karisma, mangakar pemikirannya, bekerja tanpa penat atau jemu sehingga dia berhasil mencapai visi perjuangannya atau mati meninggalkan legasinya buat umat. Mereka adalah rijal.

Lihatlah pada contoh teragung kita, qudwah terbaik buat kita iaitu baginda Rasulullah SAW ketika ditawar oleh bapa saudaranya Abu Talib untuk menjawat jawatan ketua kepada kabilah-kabilah Arab dari tangan kepemimpinan Quraisyh. Kata baginda SAW: “Demi Allah wahai bapa saudaraku, kalaulah mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan tugas membawa risalah ini, sekali-kali aku tidak meninggalkannya sama ada Allah memenangkan risalah ini atau sebaliknya...”

Bagaimana mungkin seseorang itu akan berasa lemah atau rendah diri berdepan dengan tawaran tersebut jika dia memiliki himmah (cita-cita) membugar, dia mensinergikan visinya dengan al-Haq yang datang dari Allah SWT.

Lihatlah pula para Sahabat R.A yang mendapat didikan Madrasah Rasulullah, yang menjadi tulang punggung kepada dakwah ini sehingga mereka bertebaran ke seanterio dunia.

Bilal bin Rabah, berdarah daging keturunan Habsyah, seorang hamba kepada tuannya Umaiyah bin Khalaf. Beliau diseksa di tengah panas terik matahari, diletakkan batu besar ke atas dadanya. Kata Umaiyah b. Khalaf: “Aku tidak akan melepaskanmu... kamu akan berterusan begini sehinggalah kamu mati atau kufur kepada Muhammad..”. Jiwa yang memiliki cita-cita besar ini menjawab: “Ahad... Ahad (Esa)”.

Lihatlah pula pada keluarga dakwah unggul, keluarga Yasir yang diseksa di panas yang terik. Yasir mati sebagai syahid, diikuti isterinya Sumayyah. Iman dan aqidah Ammar tetap utuh. Beliau thabat walau diuji, biarpun ibubapanya dibunuh. Jiwanya besar, cita-citanya tinggi.

Lihatlah pula pada Saidina Abu Bakar As-Shiddiq ketika beliau memimpin dakwah lewat kematian baginda Rasulullah SAW. Beliau berdepan dengan gejala riddah (murtad). Seluruh Semenanjung Arab dibelenggu sindrom murtad. Dengan himmah ‘aliyyah (jiwa yang tinggi), beliau mengungkap kata-kata: “Demi Allah! Aku akan perangi mereka yang memisahkan zakat dan solat. Demi Allah! Kalaulah mereka menghalang disebabkan oleh tali unta untuk mengeluarkan zakat sebagaimana yang telah mereka berikan pada Rasulullah SAW, nescaya pasti aku akan perangi mereka..”. Siapa yang akan memerangi mereka kalau tidak mereka yang memiliki jiwa yang besar.

Begitu juga sesiapa yang membuka lembaran sejarah Islam atau mana-mana sejarah yang hebat, pasti mereka akan dapati di sebaliknya tokoh-tokoh, rijal-rijal yang melakar dan mencipta sejarah. Mereka ini adalah pelopor, pemikir, tokoh, pemimpin, para du’at, khalifah, pejuang, ilmuwan dan cendekiawan dalam pelbagai disiplin ilmu, mereka membuat kajian, analisis, mewakafkan hidup mereka berkhidmat kepada umat, membina peradaban yang holistik sehingga peradaban mereka menjadi model unggul mengatasi peradaban lain.

Contohilah anak muda yang melakar sejarah, meninggalkan legasi kepada generasi selepasnya. Ketika dunia bersedih dan diselubungi dengan kejatuhan Khilafah Islamiah pada tahun 1924, ketika tentera-tentera musuh menjajah bumi umat Islam, ketika undang-undang syariah ditukar kepada undang-undang sekular, ketika muncul gerakan sekularisasi dan usaha-usaha pembaratan dan para ilmuwan Islam meninggalkan tugas dakwah ini, anak muda ini memulakan usaha dakwah dengan noktah yang telah diabaikan oleh generasi ketika itu.

Beliau terus membina... membina dan terus membina sehingga binaannya menjadi kukuh dengan binaan yang terbaik (Husnul bina’). Dakwahnya bertebaran ke seluruh dunia, manhajnya diaplikasikan di pelusuk benua, kadernya beraksi dalam semua platform, ketumbukan jihadnya menentang Zionis Yahudi di Palestina. Hidupnya singkat jasanya hebat. Itulah anak muda bercita-cita tinggi... Imam As-Syaheed Hasan Al-Banna.

Beliau memberikan ubat mujarab kepada dunia yang dibelenggu seribu satu macam masalah. Beliau membawa gagasan besar untuk membina tamadun agung dan terbilang. Biarpun di hadapannya batu-batu kerikil yang menghalangi perjuangannya, musuh-musuh durjana, kezaliman rejim tirani yang mencengkam, kefasadan dan kerosakan anak-anak muda, kelesuan para ulamak, kejahilan rakyat jelata, dengan jiwa yang agung dan bercita-cita besar, beliau berkata:

“Tidak ada seorang pun mengetahui melainkan hanya Allah sahaja yang mengetahuinya betapa kami setiap malam menghabiskan masa kami dengan memikirkan masalah umat ini, keadaan yang menimpa umat dalam pelbagai aspek kehidupan, kami menganalisis penyakit dan mencari ubat mengatasinya, kami berfikir untuk merawat dan menghilang penyakit umat ini. Hasilnya membuatkan kami menangis. Alangkah kami rasa terpegun dan terkejut apabila kami berdepan dengan masalah yang meruntun jiwa kami, kami melihat ada orang-orang yang khayal, mabuk menghabiskan masa mereka di kafeteria-kafeteria, berlegar-legar di kelab-kelab yang merosakkan. Bila saya bertanya salah seorang daripada mereka tentang sebab mereka melakukan perjumpaan-perjumpaan yang kosong dan memboringkan itu. Si fulan itu berkata kepada kamu: Saya sengaja membuang masa, saya sedang membunuh waktu saya. Alangkah malangnya si fulan tersebut dia tidak mengetahui bahawa sesungguhnya sesiapa yang membunuh masanya sebenarnya dia membunuh dirinya (hidupnya). Sesungguhnya masa itu adalah kehidupan.” Inilah jawapan Sang Anak Muda yang mencipta sejarah dan bercita-cita tinggi.

Abdul Hamid b. Baadis rahimahullah, seorang cendekiawan Islam dari Algeria, ulama terkenal. Beliau telah pergi mengerjakan haji dan bertemu dengan sahabat karibnya Al-Basyir Al-Ibrahimi. Temannya itu berikrar untuk tinggal lama di di bumi Madinah, menghabiskan sisa-sisa hidup dengan beribadah di Masjid Nabawi, membaca dan menulis. Syeikh Abdul Hamid b. Baadis bertanya kepadanya: “Siapa yang akan membebaskan bumi Algeria jika aku dan kamu bersikap begini?” Lantas mereka berdua pulang dan berjuang membebaskan Algeria dari cengkaman penjajah, dengan iman yang mendalam (al-iman al-amiq), kefahaman yang teliti (al-fahm ad-daqiq) dan kerja yang berterusan (al-amal al-mutawasil).

Mereka itulah adalah tokoh-tokoh yang hebat, cita-cita mereka tinggi dan visi mereka agung. Begitulah sang Da’ie, seharusnya memiliki cita-cita tinggi dan ambisi yang besar. Para pendakwah semestinya menjadikan cita-cita dakwahnya melingkari benak pemikirannya, hidup dan tumbuh subur di dalam kehidupannya. Bak kata Imam Ibnu Qayyim: “Himmah ‘Aliyah (cita-cita tinggi) ini mengatasi cita-cita lain umpama seekor burung yang terbang tinggi dari burung-burung lain”.

Seorang pendakwah yang memiliki cita-cita tinggi akan:

* Sibuk membina rijal dengan kata-kata dan perbuatan. Melakukannya dengan terbaik sehingga tidak ada masa untuk menambah bacaan dan penulisannya. Begitulah Hasan Al-Basri, beliau merupakan orang yang pertama melakukan, apabila mengajak manusia melakukan sesuatu perkara juga yang pertama menjauhkan perkara tersebut apabila melarang sesuatu perkara.

* Meninggalkan dari sibuk dengan perkara yang tidak ada kaitan dengannya, menjauhi perkara syubhat, bersabar dengan kepayahan dakwah sekalipun jalannya panjang dan melelahkan.

* Rasa bangga dan mulia dengan dakwah, memiliki integriti, rasa bertanggungjawab, memikul amanah agung risalah yang tidak mampu dipikul oleh langit dan bumi.

* Berjiwa perwira, berani dan perkasa. Berani yang tidak terhad pada kekuatan tubuh tetapi berani ke depan yang didokong dengan pandangan dan kebijaksanaan, jauh dari sifat semberono, gopoh-gapah dan tergesa-gesa.

* Pro-aktif, melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sebaik yang mungkin, tidak bertanggunh-tangguh dengan beban dakwah yang diamanahkan ke atas pundaknya.

* Menghormati, mengurus dan menghargai masa. Ini kerana masa merupakan asas kemajuan umat, generasi dan manusia keseluruhannya. Masa perlu direbut, ia datang tanpa menunggu kita, berlalu dan tidak akan kembali. Alangkan ruginya hidup para pendakwah yang menghabiskan masa-masanya tanpa dikerjakan pada perkara-perkara yang besar, yang membina dan membangun umat, melahirkan rijal dan figur sejagat, memimpin dan menerajui kebangkitan rakyat.

Generasi salaf, mereka adalah qudwah dalam memiliki Himmah ‘Aliyah. Mereka adalah agent of change (agen perubah). Kata Imam Ibnu al-Jauzi:

“Aku berlindung dari berteman dengan perjalanan hidup orang-orang yang kita tidak dapat mencontohi cita-cita tinggi mereka buat generasi selanjutnya, dan bukan juga sang warak yang tidak dapat diambil manfaat sifat zuhudnya, hendaklah kamu memerhatikan perjalanan hidup mereka yang mempunyai cita-cita besar dan tinggi, mengkaji penulisan dan karya mereka, berusaha meningkat dan memperbanyakkan membaca buku-buku mereka...”

Sesungguhnya berteman dengan mereka yang memiliki cita-cita tinggi, yang mana setiap seorang dalam persahabatan tersebut, boleh dijadikan teladan ikutan, berfikir tentang realiti umat merupakan ciri-ciri mereka yang memiliki cita-cita besar.

Jika anda seperti mereka beruntunglah, jika tidak berusahalah untuk menjadi seperti mereka. Perubahan bermula dari diri anda. Sesungguhnya Allah tidak akan merubah nasib sesuatu umat melainkan mereka merubah diri dan sikap mereka.

Ubahlah paradigma anda... jadilah Sang Da’ie yang bercita-cita tinggi dan berjiwa besar.


Photobucket
Ustaz Azizee bin Hasan,
YDP ISMA Seremban
Blog: Petunjuk Sepanjang Jalan

[ Baca sepenuhnya.. ]

Wednesday, October 14, 2009

Ramai, namun biarlah bernilai

Jumlah penganut agama Islam di seluruh dunia kini sudah mencecah angka 1.57 billion, atau kira-kira satu perempat daripada keseluruhan populasi global. Demikian perangkaan terkini yang diperolehi hasil daripada kajian Pew Forum on Religion and Public Life (Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam), sebuah badan ’think-tank’ yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Kajian yang memakan masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan beberapa dapatan dan fakta yang menarik mengenai taburan penduduk Islam. Contohnya, satu perlima daripada keseluruhan penganut Islam tinggal di negara-negara yang majoriti penduduknya bukan Islam. Ini termasuk Jerman yang didapati mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon.




Perkembangan positif ini jelas membuktikan penerimaan masyarakat di seantero dunia terhadap agama Islam meskipun pelbagai fitnah dan tohmahan telah cuba dilontarkan oleh musuh-musuh Islam. Dengan jumlah penganut yang meliputi 25% daripada keseluruhan penduduk dunia, kewujudan umat Islam di pentas global cukup signifikan dan suara mereka sama sekali tidak boleh dipinggirkan.

Dalam arus persaingan kuasa dan pengaruh hari ini, bilangan penganut yang ramai ini merupakan satu aset kekuatan yang amat berpotensi untuk menjadikan umat Islam sebagai satu bangsa yang dominan. Sekiranya 1.57 billion individu ini mampu bersatu di atas satu matlamat, nescaya umat Islam berupaya untuk bangkit sebagai satu kuasa pendesak atau pengimbang kuasa kepada negara-negara besar.

Bahkan sebenarnya nisbah seorang muslim bagi setiap empat orang tersebut sudahpun melebihi syarat kemenangan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. iaitu seorang muslim (yang sabar) kepada sepuluh orang kafir. Ukuran kekuatan berasaskan bilangan ini sekaligus menunjukkan kepentingan nilai kuantiti dalam konteks perjuangan dakwah Islam. Hal ini terkandung di dalam firmanNya yang bermaksud:

”Hai Nabi, kobarkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antaramu, niscaya mereka akan dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antaramu, nescaya mereka akan dapat mengalahkan seribu daripada orang kafir, disebabkan orang-orang kafir itu kaum yang tidak mengerti” (Al-Anfaal: 65).

Jika diukur dari segi nilai kuantiti, memang benar umat Islam memiliki kekuatan yang ampuh. Namun bilangan semata-mata bukan jaminan untuk meraih kemenangan sebagaimana acapkali dibuktikan oleh sejarah. Allah s.w.t sendiri selain meletakkan kayu ukur kekuatan dari segi kuantiti, turut menggariskan kriteria atau kualiti seorang muslim yang mampu berhadapan sepuluh orang musuh iaitu mukmin yang sabar.

Di sini penulis ingin mengajak para pembaca sekalian untuk sama-sama menilai kekuatan dan kualiti umat Islam dalam segenap aspek. Proses penilaian atau muhasabah ini penting untuk kita mendapat gambaran kekuatan umat Islam yang sebenar hari ini, supaya unsur-unsur kekuatan dapat dimanfaatkan sebaiknya sementara unsur-unsur kelemahan dapat diperbaiki mutunya.

1) Kekuatan politik – Umat Islam kini diibaratkan seperti ’anak ayam kehilangan ibu’ selepas jatuhnya khilafah Islamiyyah pada tahun 1924. Setelah itu wilayah Islam terpecah menjadi negara-negara kecil yang terpisah dari sudut geografi, pentadbiran dan identiti. Pergolakan politik merupakan senario biasa di kebanyakan negara Islam. Di sesetengah negara pula, golongan bukan Islam yang menguasai pentadbiran dalaman negara sementara pemimpin Islam sekadar menjadi boneka.

2) Kekuatan ekonomi – Negara-negara Islam khususnya di Asia Barat merupakan negara yang terkaya di dunia dengan pelbagai sumber ekonomi. Namun segala kekayaan ini seringkali dieksploitasikan oleh golongan bukan Islam akibat tiadanya kepakaran mahupun kemahuan untuk membangunkan sendiri sumber ekonomi yang melimpah ruah ini. Di kebanyakan negara yang majoriti penduduknya beragama Islam, pencapaian ekonomi umat Islam masih jauh ketinggalan.

3) Kekuatan ilmu dan teknologi – Sejarah menukilkan bahawa para cendekiawan Islam adalah pelopor kepada ilmu-ilmu moden seperti kejuruteraan, perubatan, astronomi, fizik, kimia, matematik, ekonomi dan sebagainya. Namun kini umat Islam jauh ketinggalan dalam bidang ilmu pengetahuan hingga sekadar menjadi penuntut kepada pakar-pakar bukan Islam di negara-negara bukan Islam. Umat Islam juga lebih selesa menjadi pengguna teknologi semata-mata, bukannya peneroka teknologi baru.

4) Kekuatan budaya – Sejak era Ghazwul Fikr lagi, Barat telah berusaha menyogokkan nilai-nilai dan budaya jahiliyyah kepada umat Islam melalui pelbagai mekanisme seperti pendidikan, media massa dan sebagainya. Hal ini bertujuan untuk memalingkan umat Islam daripada cara hidup Islam yang sebenar. Implikasi yang dapat dilihat ketika ini ialah keterlarutan umat Islam dengan unsur-unsur hiburan yang melalaikan, sekaligus menjauhkannya daripada ruh jihad dan perjuangan memartabatkan Islam.

5) Kekuatan ketenteraan dan persenjataan – Umat Islam hari ini bukan saja diserang hebat dari segi budaya dan pemikiran, bahkan musuh-musuh Islam turut menekan sesetengah negara Islam dengan menggunakan kekuatan ketenteraan atas alasan memerangi ’terrorisme’. Kebanyakan negara Islam juga masih lagi memiliki kebergantungan terhadap kuasa-kuasa Barat sama ada dari aspek tenaga ketenteraan dan teknologi persenjataan.

6) Kekuatan ukhuwwah – Kesatuan umat Islam semakin terhakis oleh perasaan kebanggaan yang berpaksikan kenegaraan, kebangsaan, kedaerahan serta kesukuan yang telah membawa kepada perpecahan dan permusuhan sesama sendiri. Musuh-musuh Islam pula telah berjaya memprogramkan mentaliti dan rutin kehidupan orang-orang Islam agar disibukkan dengan keperluan diri sendiri sehingga hilang keprihatinan terhadap saudara-saudara seIslam di sekeliling mereka.

7) Kekuatan akhlak – Sistem kehidupan jelmaan Barat yang dipraktikkan oleh umat Islam telah mengundang kepada krisis keruntuhan akhlak yang begitu kritikal. Orang-orang Islam seolah-olah sudah hilang sensitiviti terhadap prinsip-prinsip akhlak Islam, sehingga tidak mampu membezakan antara kebaikan dan kemungkaran. Lebih merisaukan ialah berleluasanya unsur-unsur maksiat dan penzinaan yang dikhuatiri akan menghancurkan generasi Islam pada masa hadapan.

Berdasarkan analisa kekuatan dan kelemahan di atas, dapat disimpulkan bahawa umat Islam hari ini mungkin gah dari segi nilai kuantiti tetapi rapuh dari segi nilai kualiti. Justeru tidaklah menghairankan jika umat Islam ketika ini ketinggalan dalam arus persaingan dengan bangsa-bangsa yang lain. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. kepada para sahabat r.a. tentang umat akhir zaman yang bermaksud:

”Hampir tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang kelaparan mengerumuni hidangan mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya, ”Apakah kerana jumlah kami yang sedikit pada hari itu?” Nabi s.a.w. menjawab,”Bahkan pada hari itu jumlah kamu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di lautan, dan Allah akan mencabut 'rasa gentar' terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit al-wahn.” Seorang sahabat bertanya, ”Apakah al-wahn itu, ya Rasulullah?” Rasulullah s.a.w. menjawab, ”Cinta dunia dan takut mati” (HR Abu Dawud dan Ahmad).

Pelbagai simptom boleh dikenalpasti terhadap kelemahan umat Islam seperti cintakan dunia, malas berusaha, tiada wawasan hidup, gemarkan keseronokan, hasad dengki, kecetekan ilmu, muflis akhlak, gila kuasa dan sebagainya. Namun pada hakikatnya, masalah utama adalah berpunca daripada kelemahan jiwa umat Islam yang tandus daripada keimanan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

Justeru apa yang menjadi keutamaan sekarang ialah membina semula kekuatan umat Islam bertunjangkan keutuhan iman dan akidah yang berpaksikan ajaran Islam yang sebenar. Tiada guna kita bermegah dengan angka 1.57 billion yang besar tetapi nilainya tidak seberapa. Bak kata Syakib Arsalan Rahimahullah, seorang da’i ulung yang hidup di zaman kejatuhan Khilafah Turki Uthmaniyyah:

”Banyak surat sampai kepadaku sama ada dari Morocco, Jawa, Mesir, Syria, Iraq dan Palestin. Penulis-penulisnya mencadangkan agar diadakan satu Muktamar Islam, atau melantik seorang Khalifah atau perkara-perkara yang seumpama dengannya. Namun seperti biasa aku akan menjawab: ”Kita wajib memulakan usaha Islam ini dari bawah, iaitu melalui TARBIYYAH INDIVIDU. Apalah gunanya mengadakan muktamar yang menghimpunkan orang-orang yang lemah, tidak mempunyai keinginan sendiri dan tidak mampu melaksanakan satu keputusan atau resolusi. Apa faedahnya berbuat demikian? Adakah kamu mahu kami mengumpulkan angka-angka kosong?”

Dari satu sudut kita sememangnya berbangga dengan bilangan penganut Islam yang besar dan tetap berterusan dengan kerja-kerja dakwah untuk menarik lebih ramai manusia kepada Islam. Namun yang lebih penting lagi ialah usaha-usaha pembinaan dan pentarbiyyahan peribadi-peribadi muslim yang berkualiti untuk mengembalikan semula kedudukan Islam di persada yang selayaknya.

Mohd Firdaus Sabturani
Ketua Pengarang, Media ISMA

Link asal di sini

[ Baca sepenuhnya.. ]